Oct 16, 2022 - FASSelangor FC menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan terikat 1-1 dalam perlawanan terakhir menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Beraksi dalam cuaca hujan dan permukaan padang yang basah, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu pertahan lawan masing-masing. Malang tidak berbau buat Selangor apabila pemain pertahanan, Sharul Nazeem dilayangkan kad merah selepas pengadil mendapati bola terkena tangan pemain berusia 23 tahun itu di dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-28.
Pemain import tinggi lampai Penang, Rafael Vitor tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Sam Somerville yang juga merupakan bekas rakan sepasukan beliau musim lalu.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Tan Cheng Hoe segera menekan kubu lawan dan enam minit berselang, gandingan baik di antara Hein Htet Aung dan Mukhairi Ajmal berjaya memecahkan benteng pertahan The Panthers untuk membuka ruang buat Norhakim Hassan menyamakan kedudukan semasa 1-1.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Gergasi Merah terus garang dengan mendominasi perlawanan pada babak kedua dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang Penang namun keadaan hujan lebat dan padang yang becak jelas menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melancarkan serangan dengan lebih baik.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat di mana kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata. Keputusan ini menyaksikan Selangor menamatkan kempen Liga Super 2022 di tangga ke-5 selepas mengumpul 30 mata mengatasi pencabar terdekat KL City FC (29 mata), Pahang (28 mata) dan Kedah (27 mata).
Berikut adalah antara fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan malam tadi:
- Rekod tanpa kalah buat Tan Cheng Hoe selepas empat perlawanan
Keputusan seri malam tadi menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe berjaya mengumpul 10 mata dari 12 mata maksimum selepas berjaya mengutip tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
- Corak bertahan yang berdisiplin
Walaupun beraksi dengan 10 pemain di atas permukaan padang yang becak dan di tempat lawan, para pemain Gergasi Merah mempamerkan corak bertahan yang cukup berdisplin. Kredit buat Sam Somerville yang dianugerahkan ‘Man of the Match’ selepas banyak menafikan percubaan pihak lawan. Berdasarkan empat perlawanan terakhir, Selangor cuma bolos satu gol di mana ianya hanya menerusi sepakan penalti.
- Mukhairi Ajmal bintang dalam pembikinan
Beraksi sepenuh masa malam tadi, Mukhairi menjadi pemain kedua termuda (20 tahun 11 bulan dan 8 hari) dalam sejarah kelab yang berjaya membuat 50 penampilan bersama skuad utama selepas lagenda bola sepak Selangor, Zainal Abidin Hassan pada tahun 1982. Lebih menarik, Mukhairi juga diberikan kepercayaan untuk menjadi Ketua Pasukan untuk perlawanan malam tadi disebabkan ketiadaan Brendan Gan yang mengalami kecederaan.
Tamat sudah Liga Super, misi seterusnya adalah TM Piala Malaysia 2022 di mana Selangor bakal bertemu Kelantan United pada 25/26 Oktober kelak.
Demi Kebanggaan!